Search This Blog

PETIKAN AKHBAR - ABPBH Tour - Sg Petani


Peminat tidak kisah bersesak demi bintang pujaan masing-masing

SEMUANYA tersenyum puas, tidak kira sama ada artis mahupun peminat, sejurus tamatnya siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011 keempat di Village Mall, Sungai Petani, Kedah, kelmarin. Tentunya ia detik sukar dilupakan pengunjung pusat beli-belah terkenal itu apabila mereka dapat bersua muka dengan artis kegemaran masing-masing. Apatah lagi buat peminat Aaron Aziz dan Shaheizy Sam, antara finalis yang mendapat sorakan paling hebat, seperti mahu runtuh premis komersial terbabit. Jeritan peminat, terutama daripada kalangan perempuan, di ruang legar pusat beli-belah itu kaut bergema sebaik saja artis ini muncul dari belakang pentas. Biarpun muncul agak lewat pada sebelah petang, peminat tetap tidak berganjak menanti kemunculan dua artis kesayangan mereka ini. Ternyata Ombak Rindu memberi impak sangat kuat buat penonton. Mana tidaknya, sketsa yang dipetik daripada filem popular itu sekali lagi membuatkan peminat berebut-rebut untuk ke pentas berlakon bersama Aaroz. Malah mendengar Aaron menyanyikan beberapa baris bait lagu Ombak Rindu membuatkan peminat riuh bersorak.

Bukan saja lakonan, nyanyian lagu itu oleh Hafiz juga pastinya membuatkan seorang peminat bertuah tidak tidur malam apabila dia diundang ke atas pentas untuk mengalunkan irama indah itu bersama bintang Akademi Fantasia terbabit. Mahu luruh jantung peminat itu saat Hafiz melutut di hadapannya, sambil memegang tangan.

Pelbagai aksi ditonjolkan oleh finalis dan artis undangan acara siri jelajah kali ini, dalam menghiburkan kira-kira 5,000 peminat yang hadir. Sesak macam mana sekali pun, ia tidak menghalang mereka untuk melihat dari dekat seterusnya beramah mesra bersama barisan bintang pujaan masing-masing.

Peminat Sam juga tidak kurang hebat apabila hadir bersama kain rentang. Ia jelas menunjukkan Bintang Paling Popular ABPBH2010 ini masih mempunyai peminat setia yang ramai. Kelab peminatnya yang dinamakan 'Shaheizy Sam Lover Club' ini setia menunggu Sam dari awal tengah hari, dan memenuhi hampir separuh bahagian depan pentas. 

Begitulah semangat yang ditunjukkan peminat untuk bertemu artis kesayangan. Bukan sekadar bersesak malah mereka juga cukup sporting apabila diminta pengacara siri promosi itu kali ini, Along Cham, Fara Fauzana dan Faizal Ismail, untuk menari mahupun menyanyi bersama artis.

Seperti hendak pecah perut dibuatnya apabila permainan dan aktiviti pentas yang diadakan cukup kelakar. Sebagai contoh, aksi peminat bergelek sakan bersama Izara Aishah dan Fizz Fairuz dalam acara dinamakan 'Sekaki Berdarah' membuat hadirin ketawa tidak kering gusi. Masing-masing mahu memberikan yang terbaik untuk memenangi peluang menaiki kenderaan Nissan Livina XGear dan Nissan Teana 2.5L (A) tajaan Edaran Tan Chong Motors Sdn Bhd bersama artis pilihan.

Turut mencuit hati ialah sketsa Cinta Elysa yang diarahkan Fasha Sandha dan Johan As'ari. Tambah kelakar apabila seorang jejaka, iaitu peminat Fasha dikuasai perasaan gementar dan gugup apabila disuruh berlakon bersamanya. 

Permainan mencari solekan terbaik membabitkan artis dan peminat, anjuran Avon, yang diacarakan calon kategori Artis Komedi Popular, Enot dan Along juga tidak kurang menghiburkan. 

Penghargaan buat penyokong

DI samping acara permainan dan sketsa menghiburkan, selingan nyanyian daripada One Nation Emcees, Forteen, Shila Amzah dan Najwa Latif secara tidak langsung membuatkan siri jelajah promosi ini bertambah menarik. Shila yang diserang demam harus dipuji kerana dia masih mampu menghiburkan peminat dengan dua lagu iaitu Price Tag, nyanyian asal Jessie J, dan Patah Seribu.

Meskipun masa agak terhad, inilah peluang keemasan bagi finalis untuk mempamerkan penghargaan mereka kepada peminat yang setia mengundi mereka hingga ke peringkat Top 5. Biarpun ada di antara mereka sibuk dengan aktiviti seni, tetapi masih mampu meluangkan seketika untuk bermesra bersama penyokong.

Kali pertama menyertai siri jelajah ABPBH edisi ke-25 ini, finalis kategori Artis Baru Wanita dan Penyanyi Wanita Popular, Najwa, berkesempatan menyampaikan single ketiganya, Kosong, selain Cinta Muka Buku. Tampil berbeza, dia turut menjemput artis terbaru naungan NAR Records, I Am Neeta, berduet dengannya menyanyikan medley lagu Secret (One Republic) dan Wish You Were Here (Avril Lavigne).

Diakhiri dengan persembahan bertenaga daripada Black dan Hazama, sememangnya kunjungan kali keempat ke Sungai Petani bukanlah usaha sia-sia. Kejayaan acara promosi di Zon Utara ini membuktikan ABPBH tetap kekal jenama yang berpengaruh di persada seni. Tidak hanya bertindak sebagai landasan mengurangkan jurang di antara artis dan peminat, ia juga dapat menonjolkan warna-warni industri seni kita kepada dunia luar.

Ternyata acara yang dihadiri lebih 20 finalis daripada 16 kategori ini kenangan sukar dilupuskan. Lebih bermakna apabila peminat dapat mengabadikan kenangan bersama artis dalam bentuk foto yang dicetak bersama logo ABPBH. Najwa, Forteen, Johan As'ari, Hafiz dan Hazama ialah antara artis yang berkesempatan untuk bergambar bersama peminat sebelum acara pentas dimulakan pada jam 2 petang.

Sementara itu, Siti Noor Hajar Kamaruddin, 27, dinobatkan peminat berpakaian paling kreatif mengikut tema ABPBH 2011, 'Big, Bold and Silver', manakala juara bagi dekorasi kek tercantik ialah Sakiroh Zainal. Masing-masing membawa pulang barangan LUX dan berpeluang untuk makan malam bersama barisan finalis yang hadir.

Siri jelajah promosi ini akan menemui peminat di destinasi terakhir iaitu di Kompleks Pasir Gudang, Johor Bahru, pada 23 hingga 25 Mac. ~ dan PEMINAT SAM AKAN MEMAKAI TSHIRT KHAS BERWARNA HIJAUUUUUUU!!!! Auewwwwwww!!!!

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments: